KULIM – Lelaki warga emas yang disyaki mencederakan dua anggota polis sehingga seorang daripadanya parah akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini atas enam pertuduhan termasuk cubaan membunuh esok.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh memberitahu, kertas siasatan berhubung kejadian telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah.
Katanya, pihak tersebut kemudian bersetuju untuk menuduh suspek di mahkamah pada esok.
“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh pegawai kanan polis dan Seksyen 324 KK kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
“Suspek juga akan dituduh di bawah Seksyen 380 KK kerana mencuri di pasar raya, Sekyen 506 KK kerana mendatangkan ugutan jenayah, Seksyen 353 KK kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 427 KK kerana khianat atas harta,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kosmo! Online hari ini melaporkan suspek berusia 82 tahun yang disyaki mencederakan dua anggota polis sehingga seorang daripadanya parah pada dada dalam kejadian di Taman Selasih, di sini semalam direman selama enam hari bermula hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi semalam, seorang pegawai polis cedera parah sehingga terpaksa menerima 36 jahitan pada dada akibat dilibas pisau pemotong kertas oleh suspek.
Kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis luka pada kaki ketika bergelut untuk menahan suspek berusia 82 tahun.
Kejadian berlaku ketika pasukan polis mahu membuat serbuan dan tangkapan ke atas suspek yang disyaki terlibat dalam kes kecurian di sebuah pasar raya di sini. – KOSMO! ONLINE