KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan Geng Shafiq yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun seorang lelaki warga emas selepas menahan dua lelaki semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua lelaki tempatan berusia 20-an itu ditahan dalam serbuan di Gambang di sini dan Paloh Hinai, Pekan.
“Dalam serbuan itu polis turut merampas sehelai baju jenama Adidas, sehelai seluar trek, sebuah motosikal Yamaha Y15, dua batang kunci motosikal, dua buah topi keledar, sehelai baju jenama Uniqlo, sehelai seluar jenama Timberland, sebuah beg pinggang, sekeping kad pengenalan dan sekeping kad lesen memandu milik mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian samun melibatkan geng berkenaan pada 22 Julai melibatkan seorang lelaki warga emas kerugian sebanyak RM6,000 sekepas wang tunai yang diletakkan di dalam beg pinggang dilarikan suspek.
Dalam pada itu katanya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 1 Ogos ini untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait jenayah serta dadah dan kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan ke atas suspek juga mendapati wang yang dicuri itu telah habis digunakan untuk membayar hutang dan membeli dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE