TEMPOH kira-kira dua bulan sudah memadai untuk rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) matang dan berada dalam keadaan bersedia untuk menganjurkan Pesta Bola Merdeka 2023 yang dijadualkan pertengahan Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd. Faidz Sanusi berkata, persoalan mengenai kesiapsiagaan padang tidak menjadi isu dan venue berkenaan dijangka bersedia sepenuhnya dari pelbagai aspek.
“Apa yang kami dimaklumkan, kebiasaannya rumput sudah boleh dikatakan kuat selepas dua hingga tiga minggu daripada tarikh penanaman, namun ia juga bergantung kepada keadaan cuaca.
“Bagaimanapun, selepas penanaman selesai, tidak bermakna kita akan terus ‘lenjan’ padang kerana padang juga kena ada tempoh kuarantin.
“Kita sudah buat pesanan kelengkapan yang diperlukan untuk pastikan keadaan padang berada dalam keadaan terbaik. Jadi, tidak ada isu berkaitan ketahanan rumput,” katanya.
Venue berkenaan akan menjadi venue konsert artis band Muse pada Sabtu ini, namun Mohd. Faidz menegaskan, program hiburan tersebut dijangka tidak menjejaskan kerja-kerja menanam rumput yang sudah bermula termasuk aspek perparitan
Kerja-kerja penanaman rumput akan bermula 1 Ogos depan dan dijangka mengambil masa dua minggu selepas pihak kontraktor melakukan kerja-kerja seterusnya sebelum diserahkan semula kepada PSM pada hujung September.
“Soal teknikal saya tidak boleh ulas lanjut dan kita kena ikut nasihat daripada konsultan yang pakar mengenainya. Bagaimanapun, kelainan kali ini adalah adanya tapak semaian bersebelahan Stadium Hoki Nasional, jadi kalau ada kawasan rosak, kita boleh terus tukar rumput berkenaan,” katanya.