JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi beberapa guru dan staf dikunci di luar pagar selepas mereka terlewat datang ke sekolah, lapor program berita Liputan6 semalam.
Video tersebut dimuat naik dalam akaun TikTok @bohay91830, manakala kejadian itu berlaku di Sekolah Vokasional Negeri 4 Bangli, Bali.
Berdasarkan rakaman, guru-guru yang terlewat datang ke sekolah pada Isnin lepas itu dihalang memasuki pekarangan sekolah supaya tidak mengganggu perhimpunan pagi.
“Guru datang lewat dan pintu pagar sekolah ditutup oleh pelajar semasa acara menaikkan bendera,” demikian menurut kenyataan akaun tersebut.
Kelihatan beberapa pengawas sekolah turut mengawal pintu pagar tersebut. Walaupun mereka terlewat hanya 1 minit, ia direkodkan di dalam buku laporan untuk rujukan pihak sekolah.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Memang perlu dicontohi. Peraturan sekolah bukan sahaja untuk pelajar tetapi semua warga sekolah,” komen seorang netizen. – Agensi