BERLIN, Jerman – Seorang pemandu lori nekad melanggar penunjuk perasaan yang duduk di tengah jalan raya di Stralsund, Jerman, kerana berang dengan tindakan mereka yang mengganggu lalu lintas, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Video kejadian memaparkan beberapa aktivis iklim duduk bersila di hadapan lori tersebut sambil memegang sepanduk sebelum pemandu itu keluar untuk menghalau mereka.
Dia kemudian kembali ke dalam lori dan menekan pedal minyak. Seorang lelaki yang masih berada di hadapan kenderaan itu terseret beberapa meter sebelum lori dihentikan.
Enam aktivis daripada kumpulan tindakan iklim, Last Generation terlibat dalam protes berkenaan kerana membantah rancangan kerajaan untuk membina beberapa terminal gas asli cecair di luar pantai Laut Baltik.
Aliran trafik dari kedua-dua laluan di Heinrich-Heine-Ring yang digunakan lebih 20,000 pemandu setiap hari dilaporkan tergendala akibat tindakan kumpulan tersebut pada 12 Julai lalu.
Sementara itu, polis tiba di lokasi kejadian untuk meredakan ketegangan sebelum menghalau kumpulan penunjuk perasaan tersebut yang tidak mengalami kecederaan.
Pemandu lori pula dipanggil untuk memberi keterangan selepas kejadian itu. – Agensi