CALIFORNIA – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag percaya penyerang, Marcus Rashford memiliki kemampuan untuk mengulangi pencapaian menjaringkan 30 gol menjelang saingan musim baharu 2023/24.
Penyerang antarabangsa England itu menjadi pemain United pertama dalam tempoh 10 tahun selepas legenda, Robin van Persie yang berjaya menjaringkan 30 gol semusim pada saingan musim lalu.
Ten Hag melaungkan keyakinan Rashford mampu mengulangi pencapaian musim lalu sekiranya dapat mengekalkan disiplin selain menunjukkan kemahuan tinggi dalam setiap perlawanan.
“Apabila dia (Rashford) menunjukkan karakter sebenar, saya yakin dia mampu mengulangi apa yang dilakukannya musim lalu. Saya tahu ia bukan perkara mudah, namun saya percaya dengan kemampuan Rashford.
“Saya juga akan minta rakan sepasukan yang lain supaya membantu Rashford untuk menjaringkan gol. Ini adalah sukan berpasukan, jadi semua pemain perlu melibatkan diri,” katanya.
Bekas jurulatih Ajax itu berkata, Rashford merupakan seorang penyerang yang memiliki kelebihan teknikal sempurna apabila mampu menjaringkan gol menggunakan kedua-dua belah kaki selain tandukan berbisa.
“Apabila pasukan bermain baik, Rashford hanya perlu berada pada posisi terbaik untuk menjaringkan gol. Dia langsung tidak ada masalah untuk gunakan kedua-dua belah kaki dan kepala,” ujarnya. – AGENSI