KUALA SELANGOR – Pembinaan Lebuh raya Pantai Barat (WCE) yang merentasi jajaran Banting, Selangor ke Taiping Selatan, Perak telah siap 88 peratus.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, WCE tersebut secara keseluruhannya adalah sepanjang 233 kilometer (km) tidak termasuk 80 km yang tidak bertol bawah seliaan Jabatan Kerja Raya.
Katanya, kemajuan pembinaannya sedikit lewat adalah disebabkan isu pengambilan tanah.
“Saya difahamkan projek ini sekarang 88 peratus sudah siap.
“Sedikit lewat siap disebabkan pengambilan tanah. Pada awalnya, belanja ambil tanah dianggarkan RM980 juta dan akhirnya melebihi RM2 billion. Semua ini telah selesai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pembinaan Seksyen 6 WCE di sini, hari ini.
WCE yang mempunyai 11 seksyen dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.
Menurut Alexander, Seksyen 6 WCE itu yang bermula dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa adalah sepanjang 21.8 km.
Ujarnya, ia dijangka siap pada September ini sebelum dibuka kepada orang ramai.
“Menerusi pembukaannya nanti dapat menjimatkan masa perjalanan lebih sejam kepada pengguna dari Lembah Klang ke Tanjong Karang.
“Malah tol yang dibuat bagi seksyen ini adalah bersesuaian dengan teknologi sistem pembayaran tol secara terbuka,” katanya. -KOSMO!ONLINE