KOTA TINGGI – Sebuah keluarga dari Felda Air Tawar 2 di sini terpaksa melupakan segala keselesaan yang dinikmati selama ini apabila si suami kehilangan sumber pendapatan ekoran masalah kesihatan.
Shaharudin Sharon, 40, berkata, dia kini hanya bergantung kepada pencen ilat untuk menyara isteri dan seorang anak selain duit tersebut digunakan untuk membayar kos rawatan dialisis.
Menurutnya, semua ujian itu berlaku selepas dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak tahun lalu yang menyebabkannya terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia ladang di Felda Plantation.
“Kesihatan saya mula merosot selepas ambil vaksin ketiga tahun lalu sehingga dimasukkan ke wad. Hasil ujian darah doktor mendapati bacaan buah pinggang saya sudah tahap kronik dan hanya 6 peratus berfungsi.
“Selepas itu bermulalah proses dialisis. Ekoran keadaan kesihatan yang semakin merundum, saya tidak dapat bekerja sejak Februari lalu kerana tidak lagi mempunyai kemampuan fizikal,” katanya ketika ditemui di Felda Air Tawar 2 di sini baru-baru ini.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia memperoleh pencen ilat sebanyak RM1,200 sebulan, namun tidak cukup untuk menampun kos bayaran kereta, dan perbelanjaan harian keluarga.
Katanya, kos dialisis sehingga Januari lalu ditanggung oleh syarikat dan selepas tamat perkhidmatan, separuh dari kos dialisis perlu ditanggung sendiri sementara separuh lagi oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kos dialisis sahaja mencecah RM4,000 sebulan,” katanya yang telah berkhidmat selama 10 tahun dengan Felda Plantation.
Shaharudin berkata, dia kini dalam proses untuk memohon bantuan Baitulmal selain merancang untuk memohon kad orang kelainan upaya (OKU).
Dalam pada itu, orang ramai yang mahu memberi bantuan boleh salurkan ke akaun Maybank 151071503654 milik Shaharudin.