PETALING JAYA – Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini menjelaskan satu kenyataan bertajuk ‘Siasatan Ke Atas Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam’ yang tersebar sejak semalam dan didakwa dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah palsu.
JPM menerusi akaun Facebook rasmi hari ini memaklumkan tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut yang sedang tular menerusi media sosial ternyata berniat jahat dan mengelirukan rakyat.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.
“Diharapkan agar orang ramai merujuk kepada akaun media sosial rasmi JPM melalui platform Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok untuk berita sahih,” Jelas hantaran tersebut.-KOSMO! ONLINE.