KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terus dirundung malang apabila sekali lagi tersingkir di pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo hari ini.
Pada perlawanan itu, Zii Jia dipaksa bermandi peluh sebelum akur dengan kekalahan tiga set 22-20, 17-21, 19-21 kepada pemain No.11 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto dalam tempoh lebih sejam.
Keputusan itu menyaksikan Zii Jia mengalami kekalahan kedua berturut-turut di pusingan pertama sejak berada di bawah bimbingan Wong Tat Meng termasuk pada Terbuka Korea minggu lalu.
Kekalahan itu pastinya menjadi tamparan hebat buat bekas pemenang Seluruh England (All England) berkenaan dalam usahanya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan.
Pada ketika ini, Zii Jia yang pernah menghuni ranking kedua dunia menyaksikan kedudukannya terperosok ke tangga ke-18 dan berdepan kemungkinan dipintas seorang lagi pemain negara, Ng Tze Yong.
Untuk rekod, Terbuka Jepun dan Terbuka Korea merupakan dua kejohanan pertama yang disertai Zii Jia selepas dia berehat seketika sebelum ini akibat tewas di pusingan pertama pada Terbuka Indonesia.
Sementara itu, Tze Yong memastikan tempat ke pusingan kedua selepas dia melakar kejutan dengan menewaskan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew menerusi aksi straight set 21-16, 21-17. – KOSMO! ONLINE