SETIU – Padah menyebarkan video lucah kerana tidak berpuas hati bekas teman wanita bakal berkahwin dengan individu lain, seorang pembantu kedai makan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Orang Kena Saman, Muhammad Iqyyum Basri, 25, dari Taman Desa Melor, Senawang, Negeri Sembilan membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadli Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Iqyyum didakwa menghantar video lucah menerusi aplikasi WhatsApp bagi tujuan menyakitkan hati mangsa yang berumur 25 tahun.
Penghantaran video dihantar tertuduh tersebut dilihat di sebuah rumah di Guntong di sini pada pada pukul 8.24 malam, 8 Mac 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Ahmad Fadli memerintahkan Muhammad Iqyyum dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda RM7,000 terbabit.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Siti Hajar Sulaiman.
Kosmo! Online 31 Mei lalu melaporkan Muhammad Iqyyum dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen setelah gagal menghadiri kes sebutan pertuduhan sebar video lucah terhadap bekas kekasihnya. – KOSMO! ONLINE