TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 81 buah tong gas petroleum cecair (LPG) silinder di sebuah premis di Taman Desa Jana, Kamunting di sini pada pagi semalam.
Ketua Pengawai Penguatkuasa KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, hasil daripada aduan orang ramai, sepasukan pegawai dari Cawangan KPDN Taiping telah membuat serbuan ke lokasi tersebut.
“Hasil serbuan menemukan sejumlah tong silinder LPG 14 kilogram (kg) dengan pelbagai jenama di premis itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik premis yang berusia 66 tahun sedang bersiap sedia untuk melakukan penghantaran di sekitar taman perumahan tersebut,” katanya hari ini.
Menurutnya, hasil semakan awal mendapati, lelaki tersebut menyimpan dan melakukan urus niaga barang kawalan itu tanpa memiliki lesen serta tidak memiliki surat kebenaran dari pegawai bekalan Malaysia.
“Hasil temu bual juga mendapati warga emas itu mengaku menjalankan perniagaan LPG dengan menghantar ke rumah-rumah di kawasan penempatan di situ.
“Sehubungan itu, sebanyak 81 tong LPG yang mengandungi cecair petroleum telah disita dan anggaran sitaan berjumlah RM8,714,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE