BAGAN SERAI – Seorang nelayan kerugian sebanyak RM284,850 setelah diperdaya oleh seorang wanita melalui penipuan cinta atau Love Scam dan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa telah dihubungi oleh seorang wanita yang tidak dikenalinya pada November 2022 melalui aplikasi Wechat dan setelah itu hubungan melalui dalam talian makin akrab sehingga mangsa jatuh cinta.
“Kekasihnya itu (suspek) telah menawarkan satu pelaburan mata wang kripto dengan menghantar pautan melalui aplikasi yang sama kepada mangsa dengan pulangan sebanyak RM200,000 sekiranya melabur RM30,000.
“Terpedaya dengan pujukan ‘kekasih’, mangsa telah mula membuat pelaburan itu dengan melakukan sebanyak 99 kali transaksi pindahan wang bermula dari Mac hingga 15 Julai tahun ini,” katanya hari ini.
Menurutnya, mangsa telah melakukan pemindahan wang secara dalam talian ke dalam 21 akaun bank yang telah diberikan oleh suspek.
Tambahnya, suspek tetap meminta mangsa untuk terus membuat pelaburan meskipun mangsa telah kehabisan wang.
Menurut beliau, mangsa telah meminta agar wangnya dipulangkan semula namun suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas perbualan diaplikasi Wechat.
“Menyedari dirinya telah diperdaya, mangsa telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada petang semalam.
“Mangsa kerugian sebanyak RM284,850 dan wang tersebut merupakan hasil wang simpanan mangsa termasuk pinjaman dari ahli keluarga, rakan dan majikan,” katanya yang turut memaklumkam, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dengan siasatan masih lagi diteruskan. – KOSMO! ONLINE