KUALA LUMPUR – Selepas beberapa kali ditangguh, pelakon Azri Iskandar mengesahkan bakal menamatkan zaman dudanya dengan kekasih hati dikenali sebagai Dr. Azra Diera pada tahun ini.
Berkongsi berita gembira tersebut, Azri, 55, berkata, majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung apabila wang yang dikumpul mencukupi untuk menampung perbelanjaan acara tersebut.
“Jadi tetapi belum lagi. Nanti saya kongsi lanjut mengenai majlis perkahwinan itu yang akan berlangsung tahun ini.
“Kami berdua memang sasar untuk mengadakannya seawal mungkin, apabila masalah kewangan sudah selesai, saya akan kongsi kepada semua,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar drama lakonannya, Tanah Kubur di sini, semalam.
Sama seperti bakal pengantin lain, dia juga bakal mengadakan majlis sempena hari istimewa tersebut bagi meraikan para tetamu yang dijemput kelak.
“Insya-Allah saya akan mengadakan majlis walaupun usia sudah tua.
“Majlis makan-makanlah untuk memaklumkan tentang pernikahan tetapi kalau bersanding mungkin tidak,” ujar bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam itu.
Ditanya sama ada anak-anaknya sudah bertemu dengan bakal isteri, Azri menjawab masih belum berkesempatan kerana jadual Azra yang padat.
“Sehingga hari ini bakal isteri belum bertemu dengan anak-anak sebab dia sangat sibuk.
“Selain itu, keputusan untuk tangguh perkahwinan diterima baik oleh Azra, dia sangat memahami bahawa mengadakan sebuah majlis yang kecil pun memerlukan wang ringgit,” kongsinya.
Berkongsi mengenai hubungannya dengan bekas isteri, Ellie Suriaty, dia berkata semuanya berjalan dengan baik setakat ini.
“Hubungan saya dengan dia okey, rasa-rasanya lebih baik berbanding ketika bergelar suami isteri. Kami berbual mengenai kerja dan perihal anak-anak.
“Semuanya berjalan seperti biasa tidak seperti sudah bercerai pun, bezanya cuma tidak tinggal serumah.
“Saya kini bersahabat baik dengan Ellie dan kalau nikah nanti, saya akan jemput dia juga,” jelasnya.
Memang saya boleh bekerjasama dengan Ellie dan insya-Allah untuk sebuah filem terbitan produksi luar negara yang turut membariskan aktor Hollywood, Nicholas Cage dan juga beberapa pelakon Malaysia.
“Watak saya mungkin sebagai lelaki yang mempunyai kuasa luar biasa,” katanya lagi.
Sementara itu, dia juga berpendapat bergaduh dengan bekas isteri selepas bercerai bukan satu perkara yang baik.
“Hubungan saya dengan anak-anak dari dua perkahwinan terdahulu sangat baik dan beri nafkah semampu yang boleh.
“Memang ada waktu saya terlepas bayar (nafkah) tetapi apabila ada kerja, memang akan lunaskannya.
“Saya tidak takut dengan orang tetapi takut apabila Allah SWT tanya saya nanti,” kongsinya lagi.
Terdahulu, sekitar Jun tahun lalu, Azri mengejutkan ramai apabila mengakui sudah mempunyai kekasih walaupun baru 12 hari bercerai dengan Ellie pada 17 Mei 2022.
Katanya, Azra memiliki kelayakan Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan muzik dan pernah bekerja dengan nama-nama besar di Hollywood.
Ellie dan Azri berkahwin pada 2003 dan hasil perkongsian hidup hampir dua dekad, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13. – KOSMO! ONLINE