PETALING JAYA- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan sudah mengarahkan semua agensi dan syarikat konsesi terlibat untuk mengambil tindakan segera terhadap kes jalan mendap di KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan pengguna laluan tersebut terjamin selepas kejadian yang berlaku semalam.
“Saya ambil maklum kejadian jalan mendap yang berlaku di KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak yang berlaku sebentar tadi. Saya telah mendapatkan maklumat daripada pegawai dan difahamkan kejadian berlaku sekitar 8.34 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kejadian mendapan tanah berlaku di KM 66.1 arah barat dan timur, antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong Timur,” katanya menerusi hantaran Facebook, malam tadi.
Tambahnya, status terkini semua lorong arah timur dan barat ditutup dan pengguna menghala ke arah Kuantan atau Karak dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke lebuh raya di Persimpangan Bentong Timur.
“Pengguna yang ingin menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) untuk ke Kota Bharu dibenarkan menggunakan Persimpangan CSR, manakala pengguna ke arah Kuala Lumpur dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke lebuh raya di Persimpangan Bentong Barat.
“Trafik dalam keadaan terkawal. Saya telah mengarahkan jabatan dan agensi yang terlibat supaya memberikan saya kemas kini kejadian ini kepada saya dari semasa ke semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.