LONDON – Seorang nenek berusia 83 tahun yang tular kerana mengahwini jejaka umur 37 tahun akhirnya mengumumkan perpisahan mereka selepas mengaku berasa penat menjaga suaminya, lapor portal berita LadBible semalam.
Iris Jones menjadi perhatian di seluruh dunia apabila dia mendedahkan kisah cintanya bersama lelaki muda dari Mesir, Mohamed Ibriham.
Pasangan itu berkahwin pada 2020 dan sejak itu, Ibriham berpindah ke banglo milik Jones di Weston-super-Mare, England dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasar raya Tesco.
Meskipun Jones sering memberitahu orang ramai bahawa cinta mereka sejati, ia malangnya tidak berkekalan dengan pasangan tersebut akhirnya membawa haluan masing-masing bulan lepas.
“Saya berasa penat kerana perlu menjaganya. Saya perlu melakukan semua pekerjaan di rumah, daripada memasak, mengemas dan membersihkan rumah.
“Lebih baik saya berpisah dengannya. Saya sepatutnya mendengar nasihat keluarga dan rakan-rakan mengenai Ibriham sebelum ini.
“Saya menyesal mengenali dia dan sedar bahawa suami terbaik ialah suami (bekas suami) pertama saya, Gwyn,” katanya.
Tambah Jones, dia mengaku telah jatuh cinta pada Ibriham disebabkan paras rupa lelaki itu.
“Mungkin imej yang ditampilkan membuatkan saya menyukainya. Jika dia mempunyai perut buncit atau botak, pasti saya tidak akan tertarik dengannya,” katanya. – Agensi