CAPE TOWN, Afrika Selatan – Seekor singa betina melarikan diri daripada tujuh ekor singa jantan dengan memanjat sebatang pokok di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Peminat hidupan liar, Rose Swart merakam pengalaman luar biasa itu semasa lawatannya tahunannya ke taman negara itu.
“Kami memandu di kawasan S28, menuju ke arah selatan. Apabila menghampiri sebatang pokok yang tinggi dan lurus, mata saya terbeliak kehairanan.
“Di sana, seekor singa betina berada betul-betul di atas pokok. Yang mengejutkan apabila bukan satu atau dua ekor, tetapi tujuh singa jantan sedang menunggu (di bawah),” katanya.
Singa betina itu dalam percubaan terdesak untuk melarikan diri.
“Selepas beberapa minit, ia menjadi tidak selesa dan akhirnya melompat turun dari pokok. Sebaik sahaja menyentuh tanah, singa-singa jantan mengejarnya.
“Kami tidak dapat melihat bagaimana situasi itu berakhir. Ia berlari ke dalam semak yang tebal sebelum hilang dari pandangan,” jelasnya. – Agensi