fbpx

PBT jadi punca pembiakan jentik-jentik perlu dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP hari purata 305 orang penduduk Malaysia dijangkiti demam denggi. Ini bermakna, setiap bulan purata lebih 9,000 kes demam direkodkan di seluruh negara yang menyaksikan 63,966 kes dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Dalam tempoh berkenaan, purata enam kematian turut direkodkan setiap bulan.

Pahang turut menyaksikan peningkatan 130 peratus demam denggi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan menyaksikan 550 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga 17 Jun tahun ini berbanding hanya 239 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Meskipun tiada kematian direkodkan dalam tempoh berke­naan di Pahang, namun ia semakin membimbangkan apabila lokaliti demam denggi di negeri itu meningkat mendadak kepada 241 peratus.

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa turut melahirkan kebimbangan dengan situasi kes demam denggi di seluruh negara yang meningkat mendadak sehingga 129.2 peratus.

Beliau memberitahu, sejak Januari hingga 16 Julai tahun ini, sebanyak 63,966 kes direkodkan berbanding 27,914 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kematian akibat demam denggi juga meningkat kepada 45 orang berbanding 19 orang dalam tempoh sama tahun lalu .

Jadi jika dilihat situasi semasa wabak denggi, ia perlu diberikan perhatian serius memandangkan tiada lagi vaksin diluluskan untuk wabak berkenaan di negara ini.

Jika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan wabak Covid-19 dilihat mampu membendung masalah wabak itu, kini penguatkuasaan lebih tegas dan kerap serta menyeluruh perlu dilakukan dalam membendung ancaman daripada nyamuk aedes itu.

Penguatkuasaan menyeluruh penting kerana virus maut itu boleh membunuh sesiapa sahaja walaupun mangsa sentiasa menjaga kebersihan kawasan rumah.

Namun, disebabkan kawasan kejiranan menjadi habitat jentik-jentik, maka mereka turut menjadi mangsa.

Ketegasan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam melaksanakan penguatkuasaan amat dipuji apabila daripada Januari sehingga 17 Jun tahun ini, sebanyak 262,155 buah premis telah diperiksa.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 2,043 premis dikenal pasti menjadi lokasi pembiakan aedes dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 476 premis dikompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000.

Jelasnya, sebanyak 384 notis di bawah Seksyen 8 akta yang sama telah dikeluarkan kepada penduduk yang mempunyai tempat-tempat berpotensi pembiakan jentik-jentik aedes dan sebanyak 344 premis telah dijalankan tindakan susulan oleh penguatkuasa.

Namun, dengan situasi semasa yang semakin membimbangkan, penguatkuasaan dilihat perlu lebih menyeluruh lagi termasuk pemantauan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) di sesuatu kawasan dan tidak hanya kepada individu.

Berdasarkan pemantauan di beberapa daerah di negeri ini mendapati, takungan longkang dan kawasan seperti taman permainan di bawah PBT turut menjadi lubuk dan tempat pembiakan jentik-jentik sehingga pihak berkenaan terlepas pandang.

Mungkin selepas ini, kompaun juga perlu dikenakan kepada PBT atau agensi berkaitan yang alpa menjaga kebersihan sehingga boleh mengancam nyawa penduduk itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI