PETALING JAYA – Pemandu bas RapidKL berdepan detik cemas apabila bas yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan SS 25/23, Kg Chempaka, di sini, pagi tadi.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Hasnol Hadi Mohamed Roslan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 6.46 pagi.
Katanya, seramai tujuh orang anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah bas Rapid KL tanpa penumpang yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia lingkungan 40an.
“Pemandu bas difahamkan dalam perjalanan susur keluar Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Glomac.
“Mangsa sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.05 pagi dan dipadamkan 13 minit kemudian.
“Anggaran kemusnahan bas terbabit adalah 90 peratus,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.