fbpx

Filem Pulau lakar sejarah di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Pulau melakar sejarah tersendiri apabila menjadi karya Malaysia pertama yang berjaya meraih kutipan RM700,000 di Kemboja.

KUALA LUMPUR – Filem kontroversi, Pulau terbitan WebTVAsia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi karya Malaysia pertama yang berjaya meraih kutipan RM700,000 di Kemboja selepas ditayangkan di sana pada Jun lalu.

Lebih membanggakan, Pulau menjadi filem seram yang menduduki carta teratas naskhah paling banyak ditonton di negara itu bagi tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WebTVAsia, Fred Chong kejayaan tersebut merupakan pencapaian yang sangat membanggakan untuk industri filem tempatan.

“Kami sangat gembira kerana Pulau berjaya menarik perhatian luar biasa penonton di sana dan bukan semua filem mampu mencapainya.

“Kami juga tidak menjangkakan kejayaan tersebut. Perkara ini membuktikan karya tempatan memiliki kualiti setanding filem antarabangsa.

“Pulau juga ditayangkan tanpa sebarang babak dipotong,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media di sini, semalam.

Rentetan daripada kejayaan tersebut, Fred tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan sekuel filem tersebut iaitu Pulau 2 pada masa akan datang.

Dia juga bercadang untuk melibatkan pelakon dari beberapa negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Selepas melihat sambutan ramai, memang kami ada merancang untum hasilkan Pulau 2 yang kini dalam proses pembikinan skrip.

“Kemungkinan penggambaran akan dijalankan di Indonesia dan saya bercadang untuk membariskan pelakon dari negara-negara Asia Tenggara sebagai teraju utama,” katanya lagi.

Selain itu, sebagai usaha memperluaskan produk seni tempatan. WebTVAsia juga secara rasmi menandatangani memorandum kerjasama dengan syarikat media dari Kemboja iaitu Westec Media semalam.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Fred berkata, mereka sudah mempunyai pelbagai rancangan untuk termasuk mengukuhkan industri penciptaan kandungan kreatif.

“Saya melihat potensi industri cipta kandungan sebenarnya sangat besar di sana.

“Justeru, WebTVAsia mahu luaskan rangkaian menjadi rakan usahasama strategik majukan lagi industri itu di Kemboja,” jelasnya.

Terdahulu, filem Pulau pernah menerima kecaman ramai kerana mempunyai beberapa adegan yang tidak sesuai untuk tontonan umum.

Malah filem tersebut juga telah disekat untuk ditayangkan di Terengganu selain beberapa babaknya dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi mendapatkan klasifikasi tontonan PG13.

Selain itu, filem Pulau berjaya mendapat kutipan sebanyak RM3.4 juta di Malaysia.

Pulau menampilkan barisan pelakon popular termasuk Alif Satar, Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Annuar, JAzmy JUma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI