PETALING JAYA – Seorang pembaca berita di sebuah stesen penyiaran terkemuka gagal menahan sebak ketika bersiaran secara langsung, hari ini.
Norintan Ezreena Amir Hamzah, tidak dapat mengawal emosi ketika menyampaikan berita tentang seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Mangsa ketika itu dilaporkan sedang melintas di Jalan SS 9A/8, Sungai Way, di sini semalam.
Menerusi perkongsian kool101ny, Norintan Ezreena difahamkan tersentuh berikutan nalurinya sebagai seorang ibu yang juga memiliki anak seusia dengan mangsa.
Orang ramai yang menonton sedutan perkongsian berita berkenaan, turut terkesan dengan detik beremosi berkenaan.
“Kes kemalangan itu dah biasa kami dengar, yang tak biasa tu bila pembaca berita sebak. Auto rindu anak-anak di rumah. Semoga mereka sihat-sihat sahaja,” kata seorang pengguna.
“Sampai keluar air mata pembaca berita tengah hari tadi. Bayangkan terjadi kepada keluarga kita,” komen Hanafi.
“Ya Allah sebak tengok pembaca berita baca tentang berita mungkin membayangkan anak-anak sendiri sebaya anak syurga tersebut,” ujar Fauziah. – KOSMO! ONLINE.