PETALING JAYA – Agrobank dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah memeterai memorandum persefahaman menjalin kerjasama strategik bertujuan untuk memperkasa dan mengembangkan pembangunan keusahawanan bumiputera melalui beberapa produk dana pembiayaan bank tersebut.
Peruntukan dana untuk usahawan bumiputera dalam sektor pertanian adalah sebanyak RM100 juta dalam tempoh setahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya komited untuk menjalinkan kerjasama komprehensif dengan Mara dan berharap perkhidmatan pembiayaan itu mampu memenuhi keperluan kewangan dan perbankan usahawan bumiputera.
Menurutnya, bantuan ini akan dapat membantu usahawan yang sedang memerlukan kewangan dan mahu mengembangkan perniagaan mereka selain memperbaharui infrastruktur perniagaan sedia ada atau pelbagai lagi.
“Kami menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta kepada setiap usahawan dengan tempoh pinjaman maksimum selama lima tahun. Kadar keuntungan pula 3.75 peratus setahun”, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Selain itu, turut diadakan adalah penyerahan replika cek sebagai simbolik MoU dalam Program Sentuhan Kasih Desa anjuranbersama beberapa agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). -KOSMO!ONLINE