fbpx

Salahuddin berkhidmat hingga ke akhir hayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fatimah (tiga dari kanan) menabur bunga di pusara suaminya, Allahyarham Salahuddin di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulung, Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian semalam. – RAJA JAAFAR ALI

PONTIAN – “Sudah lama kami letakkan ayah sebagai milik rakyat. Kebanyakan masanya bukan dengan kami tetapi bekerja demi rakyat.”

Demikian antara luahan anak sulung Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Iskandar Zulkarnain, 37, ketika diminta menceritakan mengenai kisah perjuangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu yang meninggal dunia kelmarin.

Cerita Iskandar, impian arwah bapanya untuk meninggal dunia ketika masih berkhidmat untuk rakyat telah tercapai.

“Ketika hayatnya, arwah ayah sentiasa memperjuangkan untuk membela nasib rakyat khusus­nya membabitkan kos sara hidup.

“Ini impian dia. Dia memang pernah cakap kalau dia meninggal dunia, biarlah dalam keadaan sedang bekerja untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Datuk Noh Gadot di sini semalam.

Allahyarham Salahuddin

Terdahulu, Iskandar turut mengimamkan solat jenazah Salahuddin, 61, seperti yang pernah diminta Allahyarham ketika masih hidup.

Menurut Iskandar, sebagai anak, mereka telah lama mele­takkan bapa mereka sebagai milik rakyat, untuk rakyat dan bersama rakyat.

“Dari kecil kami sudah dididik yang dia selalu tiada dengan kami kerana kebanyakan masanya dihabiskan untuk rakyat,” katanya.

Iskandar menambah, terlalu banyak nasihat arwah bapanya yang dia ingat.

“Salah satunya dia berpesan supaya jangan campur urusan kerjanya dan mengajar mereka supaya berdikari dalam kehidupan,” katanya.
Iskandar turut memohon agar semua pihak mendoakan agar bapanya yang meninggal dunia de­ngan nama dan jasa baiknya.

“Seandainya Allahyarham ada tersilap dan terkasar bahasa, atau apa-apa yang buruk, kami minta maaf,” katanya lagi.

Sementara itu, isteri Salahuddin, Datin Seri Fatimah Taha, 60, pula memberitahu, suaminya adalah seorang individu yang sangat menjaga kesihatan dan pemakanannya sepanjang ber­khidmat sebagai wakil rakyat.

“Tekanan darah dan bacaan gula dia ‘okey’, cuma mungkin apa yang sebabkan burst (pendarahan otak) adalah mungkin kerana dia penat sangat agaknya.

“Dia memang ada mengadu penat dan pening. Syukurlah sa­ya berada bersamanya ketika dia jatuh sakit hari itu (Jumaat). Saya tidak boleh bayangkan kalau dia keseorangan, bagaimana hendak bertahan dengan sawan dan sebagainya,” katanya dalam nada sebak.

Tambah balu kepada enam orang anak itu lagi, pemergian Allahyarham akan diingatinya ke­rana kebiasaannya akan bersama Salahuddin dalam kebanyakan program yang dihadiri Ahli Parlimen Pulai tersebut.

“Sebelum ini, dia akan sentiasa balik selepas keluar tinggalkan saya untuk bekerja, tetapi sekarang dia ditinggalkan saya dan tidak akan balik lagi,” ujarnya lagi.

Sebahagian sahabat politik serta kenalan membaca yasin dan tahlil di sisi jenazah Salahuddin di Masjid Jamek Datuk Noh Gadot, Serkat, Pontian semalam.

Dalam pada itu, adik Salahuddin, Ghazaley, 56, pula menyifatkan abang sulungnya itu seorang yang komited kepada kerjanya apabila diberikan amanah, namun dalam masa sama tidak pernah lupa tanggungjawab kepada keluarga.

“Allahyarham seorang yang pe­riang dan penyayang, dia juga menggalas tanggungjawab seba­gai ketua keluarga ini selepas bapa kami meninggal dunia pada 2009.

“Saya memang sayang pada dia, kami cuma tiga beradik lelaki. Kalau dengan emak, (Aminah Abdullah, 83), sebulan sekurang-kurangnya dua kali beliau akan pulang ke rumah, ziarah emak walaupun sekejap untuk cium tangan,” jelasnya.

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram meninggalkan seorang balu bersama empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 orang cucu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI