KOTA BHARU – Seorang lelaki maut apabila dia digilis sebuah lori mengangkut sampah berhampiran Cafe Syifoyuki, Jalan Sri Cemerlang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengahari itu, mangsa yang berusia 23 tahun maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggang dan dada.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika lori sampah yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Sri Cemerlang ke Kebun Sultan.
Katanya, bagaimanapun, lelaki terbabit yang sedang berjalan kaki di bahagian kiri jalan secara tiba-tiba melompat masuk ke bawah lori.
“Insiden itu menyebabkan mangsa digilis oleh lori terbabit sebelum disahkan meninggal dunis di lokasi kejadian.
“Berdasarkan siasatan mangsa berasal dari dari Kampung Pasir Pekan, Hilir Wakaf Bharu, Tumpat dan mempunyai rekod kesihatan di sebuah klinik psikiatri di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Abdul Rahim berkata, mangsa sebelum ini pernah mengalami masalah pemikiran yang tidak begitu normal, namun tidak mengalami masalah mental.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ II) di sini untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengkutan Jalan 1987. -K! ONLINE