fbpx

Saya tak percaya PU Azman lakukan perbuatan itu – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PU Azman bersama peguam yang mewakilinya pada prosiding hari pertama kes perbicaraan kes amang seksual di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Bapa kepada salah seorang mangsa kes amang seksual melibatkan penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman tidak percaya tertuduh yang disifatkan sebagai seorang beragama akan melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut.

Saksi kedua berusia 54 tahun itu berkata demikian di hadapan Hakim Datin Surita Budin pada prosiding hari pertama kes perbicaraan PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Lelaki itu yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Klang, Selangor berkata, anak keduanya iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun mengenali tertuduh sejak sekolah rendah selepas mengikuti kem motivasi dikendalikan PU Azman.

“Anak saya mengenali PU Azman sejak darjah enam lagi, saya tahu mereka rapat dan ada berhubung tetapi tidak pasti sejauh mana (hubungan).

“Kali pertama saya jumpa PU Azman ketika menghantar anak lelaki ke rumahnya di Sendayan pada 5 Februari 2022 bersama isteri dan tiga anak yang lain. Dia (mangsa) sendiri minta hantar ke sana sebab jauh dari rumah kami di Klang,” katanya.

Jelasnya, dia tidak mengesyaki apa-apa selepas menghantar anak lelakinya bermalam di situ selain sempat meminta penceramah tersebut menasihati dan membimbing mangsa dalam agama terutama bab solat.

Saksi kedua itu memberitahu mahkamah bahawa dia mengetahui anaknya menjadi mangsa perbuatan amang seksual PU Azman dalam pertemuan bersama seorang wanita yang merupakan ustazah sekolah rendah mangsa di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada 27 Ogos 2022.

“Ustazah memberitahu anak saya telah menjadi mangsa PU Azman, anaknya juga menjadi mangsa. Isteri yang kenal uustazah sebelum ini. Saya terkejut, marah tak sangka dia (tertuduh) sanggup buat perkara yang dilarang. Saya hanya tahu perkara ini daripada Ustazah, anak tidak bercakap atau beritahu perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly adakah dia percaya bahawa anaknya menjadi mangsa kes amang seksual tersebut, bapa kepada empat orang anak itu mengakui tidak percaya.

“Saya tidak percaya benda ini berlaku kerana seorang ustaz tidak akan buat benda maksiat macam ini. Ustaz akan mendidik anak bangsa menjadi ummah yang baik. Sebelum ini saya tidak khuatir hantar anak bermalam di rumah PU Azman,” katanya yang memberitahu anaknya berubah menjadi tertekan pada akhir tahun lalu serta menyatakan hasrat mahu berhenti sekolah.

Selain Husni Fairos, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd. Nasir.

Seterusnya, saksi kedua itu berkata, dia telah menemani anak lelakinya membuat laporan polis pada 31 Ogos 2022 di Shah Alam atas persetujuan mangsa sendiri.

Terdahulu, saksi pertama jurufoto Jabatan Siastan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Lans Koperal Mohd. Nor Arif Mohd., 38, telah memberi keterangan dan mengemukakan gambar tempat kejadian dan barang rampasan yang dirakam iaitu permaidani dan satu botol.

Husni Ramly berkata, seramai 26 orang saksi dijangka akan dipanggil sepanjang kes perbicaraan tersebut yang bermula hari ini.

Pada 12 Oktober 2022 , PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI