PARIS – Pelumba UAE Team Emirates, Tadej Pogacar terpaksa membayar harga mahal terhadap kegagalannya menjuarai saingan Tour de France (TdF) buat kali kedua berturut-turut disebabkan persediaannya yang terjejas.
Pogacar, 24, hadir ke perlumbaan itu dengan tahap tidak meyakinkan selepas mengalami keretakan pergelangan tangan pada April lalu ekoran terlibat dalam rempuhan ketika beraksi di Liege-Bastogne-Liege Classic.
Pelumba dari Slovenia itu terpaksa berehat hampir dua bulan sebelum kembali berlumba pada lewat Jun berbanding seterunya dari pasukan Team Jumbo–Visma, Jonas Vingegaard yang tiada masalah melakukan persediaan.
Akhirnya, Pogacar terpaksa akur impiannya gagal menjadi kenyataan buat tahun kedua berturut-turut apabila sekali lagi menyaksikan Vingegaard menjuarai perlumbaan kali ini.
“Secara keseluruhan ini adalah perlumbaan yang hebat buat pasukan. Kami hampir berjaya memenangi juara keseluruhan, tetapi saya tidak perasan bahawa keadaan badan sendiri tidak pada tahap meyakinkan.
“Ia menjadi teruk hari demi hari dan saya tiada penjelasan mengenainya. Cuma saya fikir semua orang akan mempunyai detik-detik seperti ini dalam karier mereka.
“Saya amat menghormati Vingegaard dan saya fikir kami berdua mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan ini. Saya akan bertarung dengan dia lagi pada masa akan datang,” kata Pogacar.
Pogacar yang masih mempunyai kontrak bersama UAE Team Emirates sehingga 2027, kini memasang impian besar untuk menjuarai perlumbaan Vuelta a Espana bermula 26 Ogos ini bagi menebus kekecewaannya pada saingan TdF. – AGENSI