PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila teman lelakinya yang juga suami orang sering mengambil kesempatan dan tidak mahu mengahwininya walaupun sudah lama bercinta.
Menerusi kisah yang diceritakan oleh Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali di laman Facebook, wanita itu telah menjalinkan hubungan terlarang bersama lelaki tersebut selama tiga tahun.
“Sudah tiga tahun dia berjanji untuk berkahwin dengan saya tetapi asyik bertangguh-tangguh kerana takut untuk bercerai dengan isteri tua.
“Entah apalah yang dipandang dekat isteri tu. Saya lebih cantik dan bergaya, selalu dipuji-puji tapi tidak diambil sebagai isteri pun,” luahnya melalui panggilan telefon bersama Suzana.
Tambah Suzana, wanita itu bukan sahaja sudah terlanjur, dia juga terpaksa menyara ‘biawak hidup’ kerana sudah jatuh sayang dan termakan dengan janji-janji manis yang ditabur lelaki tersebut.
“Saya ini dah macam isteri dia, dia akan cari-cari saya bila dia nak. Waktu kita Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu pun dia tetap cari saya.
“Saya belum sah menjadi isteri, tetapi perlu menjalankan tugas sebagai seorang isteri,” jelas wanita tersebut sambil menangis teresak-esak.
Menerusi hantaran sama, Suzana sempat berpesan agar para wanita di luar sana lebih menyayangi diri sendiri dan bukannya lelaki lain yang hanya sekadar ingin ‘singgah’ menumpang kasih.
Meninjau ke ruangan komen, ramai pengguna di laman Facebook berasa marah namun masih bersimpati terhadap nasib yang menimpa wanita tersebut.
“Peringatan buat diri sendiri dan kaum wanita yang lain, jangan jadikan diri begitu murah umpama Touch N’ Go,” kata Ana.
“Tiga tahun itu waktu yang sangat lama untuk bercinta. Dalam waktu ini, ada beberapa perkara yang wanita mesti ingat, pertama, jaga perasaan yang kedua, jaga harga diri kita,” pesan Haliza.
“Wanita kena ada harga diri. Jangan mudah percaya, kan dah rosak semuanya,” kata Kak Mah. – KOSMO! ONLINE