fbpx

Salahuddin akan terus dikenang sebagai Menteri Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Salahuddin.

PONTIAN – Allahyarham Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub akan terus diingati jutaan rakyat negara ini sebagai ‘Menteri Rahmah’.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, gelaran itu juga membawa maksud bahawa Allahyarham dikenang sebagai individu yang memperjuangkan kebajikan rakyat.

Menurut beliau, bagi Amanah sendiri, Allahyarham adalah sosok penting kepada penubuhan parti berkenaan khususnya di negeri Johor.

“Kita telah bersama membawa dan membina perjuangan Islam di Bumi Johor seawal tahun 1983. Bintang kepimpinanmu semakin menyerlah selepas menjawat Ketua Pemuda Pas Johor dan aku sebagai Naib Ketua waktu itu (1993) iaitu jawatan ke dua dalam hierarki kepimpinan Pemuda Pas waktu itu.

“Pada tahun 1995 sejarah yang tidak dapat aku lupakan apabila kereta arwah isteri aku, kau gunakan untuk berkempen semasa Pilihan Raya Umum (PRU) tahun berkenaan dan anak aku (adik) kepada Fadhli Umar Aminolhuda meninggal dunia sehari sebelum PRU berlangsung esoknya.

“Terlalu banyak saat gembira dan duka kita hadapi bersama untuk memperkenalkan Pas dalam Masyarakat Melayu UMNO di Bumi kelahiran UMNO. Tetapi akhirnya kita bersama-sama keluar meninggalkan Pas lalu menubuhkan Parti Amanah Negara bermula di Markas Pas Bakri dan Delegasi di Hotel Trader Muar pada tahun 2015,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Sri Gading itu, Allahyarham telah diberikan tanggungjawab besar dalam kabinet kerajaan persekutuan selepas PRU-14 dan PRU-15 dengan menjawat jawatan menteri.

“Selepas PRU-15 buat kali kedua kau dilantik sebagai Menteri KPDN yang memikul tanggungjawab sangat besar kerana kementerian ini menjaga keperluan barang-barang asas untuk kehidupan rakyat khasnya B40.

“Kau telah berusaha dengan penuh amanah dan bersungguh-sungguh melihat, meninjau dan menyelidik keseluruh negara untuk memastikan barangan keperluan ini dapat dirasai oleh rakyat dengan harga yang berpatutan.

“Tumpuan dan fokus kerja yang sangat baik, berwawasan dan pantas menyebabkan rakyat menggelarmu ‘Menteri Rahmah’.

“Din, aku yakin ramai dari kalangan rakyat mendoakan pemergian mu dengan penuh ikhlas dan kasih sayang kepada mu. Aku yakin usaha mu diberkati dan diredai oleh Allah pemilik kita semua kerana keikhlasan mu dan pegawai-pegawai mu yang baik dan bijaksana,” ujarnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI