fbpx

Allahyarham Salahuddin gigih bekerja, tekad turun harga barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika ditemui di pekarangan lobi HSB, Alor Setar, malam ini.

ALOR SETAR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu bahawa dia masih terkejut dan hiba dengan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini malam ini.

Katanya, beliau berada di hospital sejak petang tadi dan turut melihat proses terakhir dilakukan oleh doktor sebelum mengesahkan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu pada pukul 9.23 malam ini.

“Allahyarham mengalami kerosakan otak dan tidak dapat dipulihkan lagi. Jenazah akan dibawa ke kampungnya di Pontian, Johor.

“Kita rasa amat terkejut dan hiba kerana dia pergi ketika menjalankan tugas kerajaan sebagai menteri di sini (Kedah), kemudian dia mengalami muntah-muntah. Dia dihantar ke hospital agak cepat tetapi tidak dapat diselamatkan,” katanya yang juga Presiden Amanah ketika ditemui di pekarangan HSB, di sini malam ini.

Menurutnya, isteri dan enam anak Allahyarham dilihat dalam keadaan tenang.

“Kita berdoa dan memesan supaya anak-anaknya pergi berbisik ke telinga walaupun dia (Salahuddin) tidak mendengar bagi memohon ampun dan maaf jikalau ada kesilapan,” ujarnya.

Mohamad berkata, arwah merupakan seorang yang gigih bekerja sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Menteri di KPDN.

“Beliau amat aktif terutama sekali dalam agenda Rahmah supaya harga barang tidak naik, beliau begitu keras berusaha termasuk bertemu dengan pihak-pihak syarikat, majikan dan sebagainya untuk mengawal kenaikan harga ini.

“Kegigihan beliau itu sememangnya diakui semua orang termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan beliau adalah antara menteri yang gigih menjalankan tugas,”jelasnya.

Tambahnya, hubungan persahabatan dengan Salahuddin sudah terjalin sejak mereka berusia 20-an hingga 30-an lagi iaitu ketika dalam Pemuda Pas lagi.

“Saya ucap terima kasih kepada semua dan sama-sama kita mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat dan keluarganya bertenang. Kematian arwah memang dalam cara mengejutkan iaitu dalam suasana gelak tawa dan bergaul dengan semua orang di siang hari tetapi Allah memanggilnya selepas itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI