PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC mendapat tonik terbaik sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC pada saingan Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan barisan serangan terdiri daripada Richmond Boakye, Ayron del Valle dan Faisal Halim.
Gandingan tersebut menyaksikan pasukan Merah Kuning nampak ampuh pada awal saingan melakukan beberapa siri percubaan ke atas kubu Sabah yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee.
Namun, gol yang dicari hanya hadir pada minit ke-23 hasil jaringan cantik yang dilakukan oleh Del Valle selepas bijak mengelirukan pertahanan The Rhinos.
Tersentak dengan gol tersebut, Sabah FC memperkemaskan jentera serangan dan berusaha untuk melakukan serangan dalam memburu gol penyamaan.
Jentera serangan pasukan gergasi Borneo itu yang terdiri daripada Saddil Ramdani, Ramon Machado dan Darren Lok seakan buntu untuk merobek pertahanan Selangor FC dengan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan tersebut menaikkan sedikit motivasi pasukan tuan rumah apabila dijadualkan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menentang pendahulu liga, JDT pada minggu depan.
Selangor kini mengutip 40 mata selepas mengharungi 18 perlawanan sekali gus menghuni di tangga kedua Liga Super manakala Sabah FC kekal dengan 33 mata. – KOSMO! ONLINE