SETIU – Seorang peniaga kedai telekomunikasi berputih mata kerugian dianggarkan puluhan ribu ringgit selepas premis perniagaannya di Kampung Sungai Tong, di sini, disyaki dipecah masuk pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin berkata, kejadian itu disedari ketika mangsa yang berusia 42 tahun itu hendak memulakan perniagaan pada pada pukul 9 pagi.
“Pemeriksaan mendapati 17 unit telefon bimbit pelbagai jenama serta 500 keping kad tambah nilai prabayar berharga RM10 setiap satu telah hilang dipercayai dicuri.
“Pemeriksaan kemudiannya mendapati sebahagian gril tingkap premis perniagaan mangsa telah dipotong,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Afandi berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan kelibat seorang lelaki tidak dikenali telah memasuki kedai itu pada pukul 6.30 pagi, 17 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE