IPOH – Isteri mangsa runtuhan tanah di The Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun di sini hari ini membuat pengecaman mayat suaminya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, wanita itu tiba dari Kuala Lumpur petang tadi bagi mengenal pasti mayat Ooi Chee Wei, 39.
Katanya, seorang lagi mangsa, Lee Tze Juin, 32, yang juga dari Kuala Lumpur bagaimanapun belum dibuat pengecaman oleh warisnya.
“Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan esok. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Artikel berkaitan : Dua mayat mangsa runtuhan tanah ditemui bertindih
Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan runtuhan tanah di sebuah vila di resort berkenaan dan mengakibatkan dua mangsa terperangkap dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi.
Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan bertindih oleh pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi dalam bilik tersebut selepas operasi dijalankan hampir 10 jam. -K! ONLINEpengen