CALIFORNIA – Barcelona terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan menentang Juventus yang sepatutnya berlangsung di Stadium Levi’s, Santa Clara kelmarin disebabkan jangkitan virus dalam kalangan pemainnya.
Perlawanan di stadium berkapasiti 68,500 itu adalah sebahagian daripada siri Jelajah Juara-Juara Bola Sepak yang menampilkan enam kelab terkemuka Eropah dan dijangka menarik ramai penonton menyaksikannya.
“Barcelona terpaksa membatalkan perlawanan menentang Juventus disebabkan sebahagian besar skuad The Blaugrana dijangkiti virus gastroenteritis,” menurut kenyataan pasukan itu.
Presiden Barcelona, Joan Laporta mengharapkan pemain-pemain yang dijangkiti virus sembuh secepat mungkin, sekali gus kembali menjalani latihan pramusim dalam persediaan menghadapi musim baharu.
“Kehidupan kadangkala memberikan kejutan dan mengubah rancangan sebenar. Ia sangat sukar untuk pasukan dan pada masa yang sama buat para penyokong kami,” kata Laporta.
Difahamkan, 14 pemain dalam kem Barcelona ketika ini mengalami demam dan tidak dapat mengambil bahagian menentang Juventus menyebabkan juara Sepanyol itu terpaksa membayar semula semua tiket yang telah dijual.
Bagaimanapun, aksi pramusim seterusnya Barcelona di Amerika Syarikat menentang Arsenal di Stadium SoFi, Los Angeles pada Khamis ini akan tetap diteruskan.
Selepas itu, The Catalans akan bertemu seteru tradisi, Real Madrid di Stadium AT&T, Texas tiga hari kemudian sebelum memulakan saingan musim baharu La Liga menentang Getafe pada 14 Ogos depan. – AGENSI