fbpx

Festival Good Vibes bayar ganti rugi tiket secepat mungkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kenyataan rasmi di akaun Instagram Festival GVF 2023.

PETALING JAYA – Mekanisme ganti rugi Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) yang sepatutnya berlangsung sehingga hari ini, akan diumumkan secepat mungkin.

Ia susulan pembatalan serta-merta yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, rentetan insiden dan kenyataan sangat biadab oleh artis dari United Kingdom (UK), Matty Healy, daripada kumpulan “The 1975” semasa persembahan di Sepang malam semalam.

Menerusi kenyataan rasmi di akaun Instagram GVF 2023, penganjur festival itu, Future Sound Asia memohon maaf kepada semua pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsi mereka.

“Kami amat dukacita untuk mengumumkan bahawa baki jadual GVF 2023, yang dirancang untuk hari ini (Sabtu) dan esok (Ahad) telah dibatalkan berikutan tingkah laku dan kenyataan kontroversi yang dibuat oleh penyanyi UK Matty Healy daripada kumpulan The 1975.

“Keputusan ini mematuhi arahan pembatalan serta-merta yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital, semalam.

“Kementerian telah menggariskan pendiriannya yang tidak berbelah bahagi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, mempersendakan, atau melanggar undang-undang Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihak GVF 2023 turut menghargai sokongan semua peminat, krew dan mereka yang menjayakan festival ini sehingga dapat terlaksana selama dua hari.

“Kami menyedari masa, tenaga dan usaha yang semua telah lakukan untuk menjayakan festival ini, dan kami menghargai sokongan padu anda.

“Kami akan memaklumkan anda tentang mekanik bayaran balik secepat mungkin. Kami menghargai pemahaman anda dan sokongan berterusan semasa masa yang mencabar ini,” ujarnya.

Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan dengan penganjur festival berkenaan iaitu Future Sound Asia bagi memohon penjelasan berhubung insiden kontroversi oleh artis dari UK itu ketika membuat persembahan di Litar Antarabangsa Sepang.

Di dalam konsert tersebut, The 1975 melakukan aksi tidak senonoh dengan mencium pemain bass kumpulannya, Ross Macdonald di atas pentas.

Bukan itu sahaja, vokalisnya turut memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI