KUALA LUMPUR – Saingan bola sepak tempatan semakin hangat apabila Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) mengesahkan penganjuran Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja (PERR) diteruskan buat edisi 2023.
Kejohanan PERR yang memasuki edisi ke-101 itu menyaksikan sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan dengan aksi pembukaan membabitkan perebutan Piala Agong antara juara PERR musim lalu, pasukan Selangor dan juara Piala Agong musim lalu, Kuala Lumpur.
Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed mengesahkan Piala Agong yang diibaratkan seperti aksi pembuka tirai dijadual bermula pada 7 Oktober ini dengan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dijangka sebagai venue perlawanan nanti.
“Selepas itu, saingan PERR akan dimulakan pada 27 Oktober membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, KL, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Tambahan empat lagi pasukan adalah ATM, Bomba, pasukan Integriti dan jemputan Singapura, di mana had usia yang dibenarkan adalah 25 tahun ke bawah,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur hari ini.
Sebagai rekod, PERR 2023 dijadual berlangsung selama sebulan dan bakal berakhir pada penghujung November ini dengan Stadium MBPJ sebagai venue final.
Pada final PERR musim lalu, Selangor menamatkan badi 26 tahun apabila menjulang Piala Emas Raja-Raja buat kali pertama sejak edisi 1996 selepas menewaskan PDRM dengan keputusan 3-2.
Kuala Lumpur pula muncul pemenang Piala Agong musim lalu selepas membelasah Pahang 4-1. – KOSMO! ONLINE