PETALING JAYA – Seorang bapa mengakui menghisap kira-kira 30 batang rokok setiap hari sepanjang 23 tahun menjadi perokok tegar.
Pemilik akaun Facebook, Muhammad Halif Arli berkata, semasa berada di Singapura ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, dia menghabiskan sekitar RM950 sebulan hanya untuk membeli rokok.
“Sebelum ini purata 30 batang rokok sehari. Masa tinggal di Singapura semasa PKP sanggup menghabiskan $300 (RM950) setiap bulan untuk rokok,” katanya menerusi satu hantaran hari ini.
Bagaimanapun, Muhammad Halif memberitahu dia kini sudah mula meninggalkan tabiat tersebut selepas insiden memalukan bersama anaknya di sebuah hospital.
“23 tahun perokok tegar, hari ini hari ke 224 aku dah berhenti secara tiba-tiba. Bermula dari menjaga anak sakit di hospital.
“Kerap keluar wad untuk hisap rokok dan balik ke wad anak tutup hidung sebab badan dan mulut berbau rokok. Rasa malu dan bersalah sangat,” kongsinya.
Tambahnya, dia juga mengakui antara punca utama dia nekad untuk berhenti merokok adalah kerana anaknya.
“Kerana anak, lain betul penangan anak, isteri nasihat banyak kali pun tak pernah jalan. Vape memang aku tak pernah sentuh, semoga aku terus istiqamah, jom geng semua sama-sama tinggalkan rokok,” katanya. – KOSMO! ONLINE