PASUKAN ragbi Kelantan mempunyai misi besar pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan selepas bertekad mahu menamatkan dominasi Terengganu pada aksi separuh akhir esok.
Kelantan yang diperkuat pemain kebangsaan tampil cemerlang pada aksi suku akhir Lelaki Terbuka selepas membelasah Perlis 41-0 di Stadium Ragbi Perak, Ipoh hari ini.
Skuad kendalian Muhammad Ameer Nasrun Zulkeffli yang juga turun bersaing dalam kejohanan tersebut mengakui pemainnya dalam prestasi terbaik untuk mencalar juara bertahan dari Terengganu.
Bagaimanapun, Ameer mengakui pasukannya perlu berhati-hati memandangkan Terengganu juga membariskan pemain terbaik selepas tampil garang dengan membenam Johor 28-12.
“Pada hari ini pemain Kelantan menunjukkan aksi cukup baik apabila mengatasi Perlis dengan kemenangan dan berjaya menghalang pihak lawan melakukan try.
“Pemain menunjukkan keserasian yang cukup baik dan mungkin disebabkan kami telah bermain cukup lama malah diperkuatkan lima pemain kebangsaan serta juga bekas pemain Malaysia.
“Saya yakin gabungan ini penting buat kami ketika berdepan Terengganu yang juga merupakan juara bertahan.
“Pastinya bukan satu perlawanan mudah tetapi saya percaya dengan persiapan sebelum ini, Kelantan bersedia untuk menamatkan dominasi Terengganu di Ipoh,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, impian Negeri Sembilan untuk melangkah ke pentas separuh akhir tercapai selepas skuad kendalian Yusli Ramli membenam Putrajaya 21-14 sejurus melakukan tiga try dan tiga conversion.
Dalam perkembangan sama, pasukan tuan rumah, Perak turut melangkah ke pentas separuh akhir selepas mengejutkan pasukan pilihan dari Selangor, 28-15.
Hasil keputusan itu, Perak akan berdepan Negeri Sembilan untuk melangkah ke separuh akhir untuk merebut tiket ke pentas final. – KOSMO! ONLINE