fbpx

PRN: Jangan salah pilih pemimpin wakili Selangor Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid mengiringi Anwar ketika penyampaian replika cek kepada Daiman pada majlis tersebut. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SABAK BERNAM – Pengundi Selangor Utara disarankan agar tidak salah memilih bagi memastikan pembangunan terus dinikmati semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mempunyai pemimpin yang baik untuk terus menerajui kawasan seperti Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang dan Kuala Selangor seterusnya memberi kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor.

Katanya, ini termasuk pengumuman malam tadi dengan pemilihan Ustaz Mohamad Khir Ramli sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong.

“Kita lakukan dengan iltizam yang kuat, tasawwuf yang jauh untuk kita bawa kemajuan dengan watak kepemimpinan yang baik.

“Ini menerusi program yang dijalankan disamping menolak rasuah, menolak perkara yang jijik dan amat menjengkelkan serta harus komited dalam perkara ini,” katanya ketika berucap pada majlis Sentuhan Kasih Desa Selangor dan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Stadium Sungai Besar di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelbagai bantuan disampaikan termasuk saguhati ‘One Off’ berjumlah RM900,000 kepada Batin Penghulu Orang Asli, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) yang diterima Daiman Peron dari kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mengumumkan 12 calonnya bagi PRN Selangor antaranya termasuk di kawasan Utara Selangor iaitu Datuk Jahaya Ibrahim bagi DUN Jeram, Datuk Mohd. Imran Tamrin (Sungai Panjang) dan Datuk Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) serta Mohamad Khir ( Sungai Burong).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan Mini KUD itu merupakan antara satu terjemahan komitmen kerajaan bahawa yang tidak akan pernah meminggirkan usahawan desa terutama usahawan Orang Asli.

Ujarnya, pihaknya juga akan mempertingkatkan kemampuan dan keusahawan digital dengan transaksi dicatatkan pada tahun lalu adalah RM260 billion.

‘Tahun ini, insya-Allah akan mencapai angka RM300 billion yang memperlihatkan peningkatan kira-kira 10.3 peratus.

“E-dagang sesuatu tidak boleh dielakkan dan sudah tentunya harus dilakukan komitmen semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI