MUNICH – Selepas dikaitkan bakal berhijrah ke Al-Ahli, penyerang Bayern Munich, Sadio Mane sekali lagi disebut-sebut bakal menyertai satu lagi kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr pada jendela perpindahan kali ini.
Pemain antarabangsa Senegal itu seolah-olah semakin dipinggirkan daripada skuad The Bavarians itu sehingga menyebabkan dia terpaksa mempertimbangkan beberapa tawaran bagi mendapatkan khidmatnya.
Walaupun Mane pada awalnya enggan melayan hasrat kelab-kelab dari sana yang berminat untuk membawa dia beraksi dalam Liga Pro Arab Saudi, namun pendirian itu berubah selepas Bayern mahu melepaskannya.
Dalam pada itu, legenda Liverpool, Steven Gerrard yang dilantik sebagai jurulatih Al-Ettifaq sedia membuat tawaran kepadanya, tetapi Mane dilaporkan sudah berunding terma peribadi bersama Al-Nassr.
Sekiranya Al-Nassr serius mendapatkan khidmat Mane, mereka mungkin perlu berbelanja besar memandangkan Bayern enggan rugi selepas berbelanja £35 juta (RM205.04 juta) bagi mendapatkan khidmatnya dari Liverpool sebelum ini.
Bagaimanapun, nilai yuran perpindahan tersebut bukanlah satu masalah besar buat Al-Nassr memandangkan mereka terdesak mencari penyerang yang mencipta gandingan dengan Cristiano Ronaldo.
Difahamkan, Bayern mahu melihat perpindahan itu dapat direalisasikan bagi membuka jalan untuk mereka membawa masuk penggempur berbisa Tottenham Hotspur, Harry Kane ke Allianz Arena. – AGENSI