SABAK BERNAM – “Saya ke Vietnam bukan makan angin,” demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyatakan adalah penting untuk mana-mana pemimpin baharu menjelajah ke negara Asean.
Kata beliau, adalah tidak betul tomahan segelintir pihak yang melabelkan beliau sebegitu kerana pelbagai undangan diterima setiap minggu daripada pelbagai pemimpin negara lain termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.
“Semalam saya balik dari Vietnam (dan) yang diheboh di luar kita pergi makan angin. Kita pergi bertugas kerana Malaysia negara penting di Asean. Jangan banding dengan (kerajaan) dulu. Dulu, jemputan pun kurang, jangan nak cemburu.
“Kalau ikut (ada) jemputan setiap minggu. Dua hari lalu, ada surat dari Raja Salman Abdulaziz Al Saud. Surat beliau sign (tandatangan) undang saya ke Arab Saudi.
“Bulan lalu, panggilan telefon dari Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan,” katanya ketika berucap merasmikan Sentuhan Kasih Desa Selangor dan Mini Karnival Usahawan Desa di Stadium Sungai Besar, hari ini.
Anwar menegaskan, beliau sebagai Perdana Menteri baharu bagaimanapun harus menumpukan kerja-kerja dalam negara terlebih dahulu.
“Bagi peluang saya susun dan bantu rakan rakan dulu. Kalau keluar, hanya urusan-urusan utama,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan impiannya adalah mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat bukan sahaja di rantau ASEAN malah dunia.
Ujarnya, beliau yang telah telah melalui pelbagai pengalaman termasuk penderitaan setelah bergelumang dalam dunia politik sejak 25 tahun lalu tidak akan menzalimi sesiapa ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
“Kes rasuah sekarang disiasat dan beberapa kes didakwa. Ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH), siapa Perdana Menteri bukan saya ketika itu. Siapa Menteri Dalam Negeri dan siapa Menteri Ekonomi, ketika itu dan apa yang mereka mahu lakukan kepada UMNO.
“Pertama, mereka panggil Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bubar dan bila beliau tidak mahu, mereka dakwa, kemudian buat keputusan untuk haramkan UMNO, dan bila tidak dengar cakap, sita akaun. Saya bukan Perdana Menteri sebegitu.
“Cita-cita saya melalui kuasa ini adalah untuk membantu rakyat, bangunkan ekonomi dan jadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat di dunia. Malaysia sudah sepatutnya menjadi negara yang hebat di rantau ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE