fbpx

Nusyuz, Diana, Farid berbalas alasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEMI memepertahankan hak, Diana memfailkan tuntutan balas nusyuz terhadap Farid di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari baru-baru ini.

MASIH berperang menuntuk hak. Itu yang berlaku dalam kemelut rumah tangga pasangan selebriti popular, Diana Danielle dan Farid Kamil ketika ini.

Masakan tidak, perang mahkamah mereka memasuki episod baharu pada Khamis lalu apabila Diana memfailkan tuntutan balas nusyuz terhadap suaminya atas alasan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga.

Bukan itu sahaja, bintang filem Magika itu turut membuat permohonan pembelaan untuk tuntutan nusyuz yang difailkan Farid pada 6 April lalu atas alasan tidak dibenarkan pulang ke rumah kelamin dan dakwaan tidak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami.

Tanpa memperincikan butiran, peguam syarie mewakili Diana iaitu Azmi Mohd. Rais menjelaskan, antara alasan tuntutan balas difailkan melibatkan tanggungjawab Farid sebagai suami.

Di sebalik wajah tenang mendepani kekusutan yang masih berlarutan, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 33, itu mengakui pergolakan rumah tangga bukanlah satu situasi menyeronokkan untuk dilalui.

“Kemelut rumah tangga bukan perkara mudah untuk dilalui mana-mana pasangan suami isteri termasuk saya.

“Meskipun begitu, saya perlu melakukan sesuatu untuk mempertahankan hak dan perkara sepatutnya,” katanya kepada Pose selepas sebutan kali kedua tuntutan nusyuz oleh Farid terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari baru-baru ini.

Aktres yang akhirnya bersuara selepas sekian lama mengambil pendekatan mengunci mulut saat disapa media di mahkamah selama ini tetap berharap, kebenaran akan terbukti dan ujian yang dihadapi bakal berakhir dengan baik.

“Tiada apa yang saya mahukan selain semuanya berakhir dengan keputusan yang baik dan aman,” jawabnya ringkas.

Ditanya reaksinya apabila Farid memfailkan nusyuz, Diana dalam nada positif berpendapat tuntutan sebegitu boleh dilakukan semua pihak yang berada dalam proses perceraian.

Namun, setiap tuntutan yang dilemparkan perlulah hadir dengan fakta dan bahan bukti. Demikian penegasa pelakon berusia 33 tahun itu.

“Saya terima tuntutan nusyuz itu dan bagi saya, semua pihak yang dalam fasa seperti kami boleh memfailkan apa sahaja tuntutan yang mereka mahu.

“Namun semua tuntutan itu perlu dilengkapkan dengan bukti dan fakta. Jadi kita tunggu dan lihat,” jawabnya.

Kelibat Farid bagaimanapun tidak kelihatan susulan dijangkiti Covid-19 dan kini dalam tempoh kuarantin kendiri.

Cair pujukan?

Sempat dilayangkan pertanyaan mengenai responsnya berhubung beberapa usaha Farid untuk berdamai sebelum ini, Diana hanya melemparkan senyum sinis. Dia menolak memberi kenyataan tentang pujuk rayu Farid.

Mengimbau semula, antara usaha yang dilakukan Farid ialah memberi jambangan bunga, menghadiahkan barangan kemas termasuk cincin perkahwinan yang hilang sebelum ini dan membawa ibu bapa ke mahkamah.

“Saya tak mahu memberi kenyataan mengenai hal itu (pujukan Farid). Sebenarnya hal peribadi (kisah rumah tangga) tidak sepatutnya menjadi bahan tontonan umum.

“Perkara itu juga tidak sepatutnya dilakukan sebagai alasan atau usaha untuk mengambil hati,” ujarnya yang juga enggan mengulas mengenai keadaan terkini dua anaknya, Muhammad dan Aurora.

Ceria, tenang

Sikap tenang dan ceria Diana tempoh hari turut mencuri perhatian ramai. Semuanya sangat berbeza daripada yang sering ditunjukkan sebelum ini iaitu mengelak daripada memberi sebarang kenyataan kepada pihak media.

Akuinya, keterbukaan sebegitu terzahir saat melihat jumlah kehadiran media yang mengerumuninya tidak seramai seperti ketika beberapa prosiding terdahulu.

Bintang Hanyut itu sempat membikin promosi, bakal muncul dengan single baharu pada Ogos depan.

“Sebelum ini takut sikit tetapi hari ini okey sebab tak ramai yang hadir (media).

“Insya-Allah saya akan muncul dengan lagu baharu bulan depan,” ujarnya yang sempat berseloroh mengajak media minum kopi bersama selepas semua selesai kelak.

Khamis lalu, mahkamah memutuskan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tuntutan nusyuz Farid terhadap Diana manakala 10 Ogos depan pula tarikh prosiding hakam kerabat bagi pasangan terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI