SEREMBAN – Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas 250 kilogram dadah bernilai RM18.2 juta dirampas di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 18 Julai lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, bertindak atas maklumat, lebih kurang pukul 6 petang, sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita sebanyak 18 kotak di kompleks berkenaan dan hasil pemeriksaan telah menjumpai 12 kotak mengandungi bungkusan plastik lutsinar.
Jelas beliau, bungkusan tersebut mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis 3, 4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 232.05 kilogram dengan nilai anggaran rampasan adalah sebanyak RM17 juta.
“Pihak Kastam turut menemui sebanyak satu kotak bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi bahan serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya jenis Ketamine dengan berat kasar 20.05 kilogram. Nilai anggaran rampasan adalah RM1.2 juta.
“Pemeriksaan ke atas baki lima kotak pula menjumpai cakera brek kereta,” katanya kepada pemberita sidang akhbar kes tersebut di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
Zazuli menambah, suspek dalam kes berkenaan dipercayai warga tempatan dan dadah yang ditemui itu pula dipercayai untuk pasaran dalam negara,
“Dadah jenis MDMA ini boleh digunakan untuk membuat pil ecstasy yang boleh menghasilkan 1.5 tan pil ecstasy. Ini juga merupakan rampasan terbesar tahun ini,” katanya.
Sementara itu, jelas beliau, modus operandi sindiket adalah bagi mengaburi pihak berkuasa dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai aksesori kereta sedangkan di dalamnya terdapat kotak yang mengandungi dadah berbahaya.
“Siasatan awal mendapati dagangan tersebut di import dari sebuah negara di Eropah dan kemudian mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir.
“Hasil risikan mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan dan menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut. – KOSMO! ONLINE