PONTIAN – Perjalanan pulang tujuh sekeluarga dari Putrajaya ke Pontian selepas menguruskan kad pengenalan anak angkat mereka berakhir tragedi apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 72.5 Jalan Johor Bahru – Batu Pahat berhampiran Jalan Penghulu Ghani, Pulai Sebatang di sini hari ini.
Dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan pada pukul 12.20 tengah malam itu menyebabkan Muhammad Syuib Ibrahim, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
Isterinya, Siti Faziah Sukiman, 35, dan lima anak kandung mereka berusia tiga hingga 13 tahun serta anak angkat pasangan itu berusia 14 tahun mengalami cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dekat sini.
Menurut ibu Allahyarham Muhammad Syuib, Hamidah Othman, 63, anak bongsu tiga beradik itu menaiki Perodua Alza dalam perjalanan pulang dari Putrajaya menuju ke ke rumah sewa mereka di Batu 36, Jalan Johor Bahru-Pontian di sini.
“Mereka sekeluarga ke Putrajaya sebab urusan permohonan buat kad pengenalan anak angkat mereka, Mohd. Alif Maqbul, 14.
“Saya dapat berita dalam pukul 1 pagi tadi daripada anggota bomba yang hubungi memaklumkan kejadian itu.
“Muhammad Syuib baru sambut ulang tahun perkahwinannya ke-15 tahun pada 19 Julai lalu, namun Allah lebih menyayanginya ambil dia dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di belakang Taman Suraya, Jalan Kukup, di sini, pagi hari ini.
Tambah Hamidah, arwah anaknya sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah stesen Tenaga Solar di Rimba Terjun sebelum berhenti sebulan lalu untuk menjalankan perniagaan.
“Arwah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik merupakan Ketua UMNO Cawangan Kampung Rimba Terjun Barat dan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai,” ujarnya.
Sementera itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Alza, sebuah Toyota Harrier dan sebuah motosikal jenis Yamaha.
“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza yang dipandu oleh mangsa dari Benut ke Pontian bersama isteri dan enam anaknya bertembung secara berhadapan dengan Toyota Harrier yang datang dari arah Pontian menyebabkan kenderaan tersebut berpusing.
“Dalam masa yang sama, sebuah motosikal Yamaha dari arah Pontian telah melanggar bahagian pintu sebelah kanan Perodua Alza yang melintang di tengah jalan raya,” katanya.
Katanya, pemandu Toyota Harrier dan penunggang motosikal Yamaha yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan kecemasan. – KOSMO! ONLINE