KOTA BHARU – Pas sudah mengampunkan segala kesilapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap parti tersebut selepas mengundang tokoh itu untuk berucap buat kali pertama di pentas Pas pada program Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas sedia menerima Dr. Mahathir atau lebih dikenali sebagai Tun M yang dilihat sudah berubah dalam konteks perjuangan.
“Soal sejarah, semua orang ada sejarahnya. Dalam konteks sejarah Islam, semua orang yang masuk Islam sebelum itu mempunyai banyak masalah (dengan Islam) apabila mereka melawan Nabi Muhammad SAW.
“Selepas pembukaan Kota Mekah, Abu Sufian, Khalid Al-Walid dan Wahsyi telah masuk (memeluk) Islam. Jika kita tengok, Wahsyi telah membunuh bapa saudara Rasulullah (Hamzah Abu Mutalib).
“Jadi, apabila dia (Tun M) sudah berubah, kita terima. Sejarah tu nak buat macam mana,” katanya selepas ditemui pemberita program Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Terdahulu, Tun M tampil buat kali pertama di pentas Pas untuk menyampaikan ucapan di hadapan hampir 100,000 penyokong parti itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, sokongan yang berikan Tun M kepada PN dapat membersihkan kesilapan yang pernah dilakukan oleh tokoh itu sebelum ini.
Sementara itu, Dr. Mahathir dalam ucapannya berkata, beliau kagum melihat kehadiran rakyat yang mencecah 100,000 ke program Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin sekali gus memenuhi segenap ruang stadium.
“Saya telah berkecimpung dalam bidang politik selama 80 tahun, tetapi ini merupakan perhimpunan terbesar pernah saya hadir. Syukur kerana ia menunjukkan orang Melayu sudah kembali bersatu dan masih mempunyai kekuatan.
“Jadi, saya berharap PN dapat menyapu bersih kesemua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE