fbpx

Peruntukan RM200 juta baik pulih kediaman ATM, tingkat moral anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Keputusan pihak kerajaan meluluskan peruntukan segera RM200 juta bagi membaik pulih kediaman warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara merupakan bentuk keperihatinan terhadap aspek kebajikan anggota malah turut meningkatkan moral kerja mereka.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, melalui peruntukan tersebut, ia dapat menambah baik tahap keselesaan warga ATM dan keluarga yang mendiami Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.

“Sesungguhnya peruntukan ini amat penting dalam memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan keseluruhan RKAT dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Antaranya pembaikan kerosakan di dalam rumah seperti lekapan tandas, siling bocor, perpaipan lama dan lekapan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, peruntukan itu juga akan digunakan bagi pembaikan di berek anggota bujang serta penyelenggaraan infra di kawasan RKAT.

“Ia melibatkan kerosakan lif di blok-blok kediaman, lampu jalan, jalan berlubang, saluran kumbahan, kerosakan tangki air utama serta baik pulih kemudahan rekreasi seperti taman permainan kanak-kanak, gelanggang sukan dan dewan serbaguna.

“ATM akan sentiasa memastikan aspek kebajikan keseluruhan anggota ditangani secara holistik. Ini bukan sahaja meliputi keselesaan tempat tinggal malah meliputi peralatan dan perkakasan yang diperlukan untuk tugasan mereka serta gaji dan elaun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI