KUALA NERUS – Tobaki Cilik Pink Racing Team (TCPRT) yang merupakan antara pasukan kategori perdana CP150 mencuri tumpuan di luar litar lumba dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Pemilik TCPRT, Nur Atikah Azwar berkata, pasukan tersebut kian dikenali dalam kalangan peminat permotoran negara sekaligus membuktikan mereka bukan sekadar pasukan pelengkap.
Beliau berkata, kehadiran akhbar Kosmo! sebagai antara rakan penaja utama telah membantu TCPRT meningkatkan imej komersial dalam masa singkat sejak dua tahun lalu.
“Bagi saingan musim 2023, kami ambil keputusan berani berentap dalam kategori perdana CP150 dan saya harus akui cabarannya cukup getir untuk menyaingi pasukan lebih senior.
“Pasukan kami turut ‘ditekan’ untuk memberikan keputusan membanggakan namun sebenarnya tekanan itu yang menjadi suntikan semangat kepada TCPRT untuk bekerja lebih keras,” katanya di sini hari ini.
TCPRT dibarisi tiga pelumba dalam CP150 iaitu Afizi Supaat, Harith Farhan Baharin dan Qhuwarismi Md. Nasir mengharungi peringkat kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus sehingga esok.
Nur Atikah bersama maskot Kapten Kosmo! turut sempat meluangkan masa bersama peminat TCPRT hari ini.
Aktiviti jualan barangan cenderati TCPRT juga dijual di garaj pasukan selain menerusi online.
Nur Atikah berkata, pembabitan TCPRT dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia mahu diteruskan dengan misi menjadi antara pasukan pencabar serta melahirkan lebih ramai pelumba wanita.
“Tidak mustahil ia dapat menjadi kenyataan dengan kerjasama lebih erat dengan Kosmo! digabung kepakaran pasukan dalam aspek teknikal dan jentera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE