KEJOHANAN Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan yang membuka tirai secara rasmi pada hari ini di Ipoh, Perak berlangsung sengit terutama pada pertembungan peringkat kumpulan Lelaki Terbuka yang memburu tempat ke peringkat suku akhir esok.
Tumpuan pasti tertumpu kepada juara musim lalu, Terengganu selepas tampil garang membuka kempen dengan dua kemenangan sejurus berjaya membenam Pahang 19-5 sebelum mengatasi Sabah 26-5 pada aksi sebelah petang.
Biarpun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, Terengganu mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki secepat mungkin terutama pertahanan yang sedikit rapuh.
Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu, Amir Amri Muhammad berkata, dia berpuas hati dengan kemenangan tersebut namun, berharap anak buahnya terus meningkatkan tempoh permainan.
“Dari segi serangan saya lihat kita sangat baik tetapi pertahanan kita sedikit goyang dan mudah ditembusi pasukan lawan. Perlu diingatkan perlawanan suku akhir penting kerana aksi itu adalah peringkat kalah mati. Jadi, mereka tidak boleh melakukan kesilapan mudah.
“Saya harap esok mereka bermain dengan baik dan segera menutup segala kelemahan. Melalui pemerhatian saya, kejohanan kali ini begitu sengit terutama rata-rata pasukan negeri menghantar barisan pemain muda,” katanya kepada Kosmo!.
Terengganu yang sudah mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir akan berdepan pasukan tuan rumah Perak pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pagi esok.
Hasil selepas dua perlawanan, Terengganu berada di tangga teratas Kumpulan A dengan mengumpul 6 mata manakala pasukan tuan rumah Perak tangga kedua dengan 4 mata.
Sementara itu, Kelantan yang sekadar menamatkan perlawanan tempat keempat musim lalu dilihat menekan butang ‘reset’ selepas cemerlang pada perlawanan peringkat Kumpulan B dengan membenam Putrajaya 24-7 sebelum mengatasi Sarawak 45-0.
Atas kertas kemenangan itu sudah cukup buat Kelantan untuk melangkah ke peringkat suku akhir biarpun mempunyai satu perlawanan peringkat kumpulan menentang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pagi esok.
Naib juara musim lalu, Negeri Sembilan yang turun dengan status ‘underdog’ turut mengekalkan permainan terbaik mereka selepas mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir selepas mencatat dua kemenangan.
Biarpun menurunkan ‘ubi muda’ namun, skuad Negeri Sembilan berjaya membenam Perlis 33-7 sebelum mengatasi Kedah 34-0. -KOSMO! ONLINE