PETALING JAYA – Bintang muda skuasy negara, Aira Azman berada dalam kelas tersendiri apabila meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia yang berlangsung di Melbourne, Australia.
Aira, 18, mara selepas menewaskan pemain Perancis, Lauren Baltayan 11-4, 11-9, 11-6 pada aksi suku akhir ini untuk menempah pertemuan menentang Fayrouz Abouelkheir dari Mesir esok.
“Saya sangat gembira dengan persembahan menentang pemain Perancis hari ini. Ia satu perlawanan yang cukup sengit.
“Saya menjangkakan satu lagi perlawanan sukar esok. Jadi saya harap dapat berikan prestasi terbaik dalam perlawanan esok,” katanya.
Menariknya, pemain dari Alor Setar, Kedah itu menjadi pemain terakhir negara layak ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan selepas menewaskan wakil Hong Kong, Leung Ka Heun 11-5, 11-7, 11-3 di peringkat 16 terbaik kelmarin.
Kini, Aira berpeluang menamatkan saingannya pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia dengan melangkah ke final jika berjaya menumbangkan Abouelkheir yang merupakan pemain pilihan kedua kejohanan.
Namun, ia tidak mudah kerana wakil Mesir itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan Caroline Fouts dari Amerika Syarikat dengan keputusan 11-5, 4-12, 11-5 di suku akhir hari ini.
Satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung esok menyaksikan pilihan utama, Amina Orfi dari Mesir menentang rakan senegaranya, Malak Khafagy. – KOSMO! ONLINE