EDISI ke-24 Kejohanan Olahraga Asia kembali diadakan di Bangkok, Thailand minggu lepas selepas penganjuran dua tahun lalu yang sepatutnya diadakan di Hangzhou, China terpaksa dibatalkan disebabkan Covid-19.
Bekas kuasa besar Asia, Jepun kembali membuktikan kemampuan atlet-atletnya dengan menewaskan juara 17 kali, China untuk meraih gelaran juara keseluruhan menerusi 16 pingat emas, 11 perak dan 10 gangsa.
Biarpun tanpa penyertaan juara keseluruhan edisi 2019, Bahrain tetapi persaingan di Stadium Nasional Supachalasai itu tetap sengit apabila menyaksikan 10 rekod kejohanan tercipta.
Bintang muda Sri Lanka, T. Dissanayake, 18, berjaya memadam rekod 800 meter (m) wanita kejohanan, dua minit 01.16 saat (s) dilakukan Zhang Jian dari China pada 1998 di Fukuoka, Jepun dengan masa baharu 2:00.66s.
Jaguh lompat jauh Taiwan, Lin Yu-tang pula berjaya membuat lompatan sejauh 8.40m untuk memadam rekod 8.33m berusia 23 tahun milik Hussein Taher Al-Sabee dari Arab Saudi sewaktu edisi Jakarta 2000.
Berikut merupakan lapan lagi rekod baharu kejohanan dalam saingan yang dianggap pra temasya Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.
ERNEST JOHN OBIENA
Umur: 27 tahun
Negara: Filipina
Acara: Lompat bergalah
Rekod peribadi: 6.00m
Pencapaian:
– Pingat emas Kejohanan Asia 2023
– Pingat gangsa Kejohanan Dunia 2023
– Pingat emas Sukan Universiti Dunia 2019
PEMEGANG rekod Asia ini melakukan lompatan setinggi 5.91m untuk mengukir rekod baharu kejohanan, mengatasi catatan lamanya 5.71m dilakukan pada edisi Doha 2019.
Hasratnya untuk memecahkan rekod benua Asia dipegangnya iaitu 6.00m dengan catatan baharu 6.02m tidak kesampaian apabila gagal melepasi had ketinggian itu dalam tiga percubaan.
FENG BIN
Umur: 29 tahun
Negara: China
Acara: Lempar cakera
Rekod peribadi: 69.12m
Pencapaian:
– Pingat emas Kejohanan Asia 2023
– Pingat emas Kejohanan Dunia 2022
– Pingat emas Kejohanan Asia 2019
JUARA dunia ini membuat lemparan sejauh 66.42m untuk memadam rekod kejohanan miliknya, 65.36m yang dilakukan pada edisi Doha 2019.
Atlet kelapan terbaik Sukan Olimpik Rio 2016 itu ketika ini menghuni ranking ketiga dunia, sekali gus berada pada landasan tepat untuk menaiki podium pada Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary bulan depan.
NOZOMI TANAKA
Umur: 23 tahun
Negara: Jepun
Acara: 1,500m
Rekod peribadi: 3:59.19s
Pencapaian:
– Pingat emas Kejohanan Asia 2023
– Pingat emas Kejohanan Remaja Dunia 2018
– Pingat emas Kejohanan Remaja Asia 2018
PELARI jarak jauh Jepun ini meleburkan rekod kejohanan dengan catatan baharu 4:06.75s, memadam masa 4:12.69s dilakukan Miho Sugimori, juga dari Jepun pada edisi 2005 di Incheon, Korea Selatan.
Biarpun jauh dengan rekod peribadinya tetapi dia berada pada landasan tepat untuk mengulangi pencapaian tempat kelapan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada edisi Paris 2024 tahun depan.
LI LING
Umur: 34 tahun
Negara: China
Acara: Lompat bergalah
Rekod peribadi: 4.72m
Pencapaian:
– Pingat emas Kejohanan Asia 2023
– Pingat emas Sukan Asia 2018
– Pingat emas Sukan Universiti Dunia 2015
PEMEGANG rekod Asia dengan catatan 4.72m ini menunjukkan dominasinya apabila menyamai rekod kejohanan 4.66m yang dilakukannya di laman sendiri pada edisi Wuhan 2015.
Ling yang meraih tempat keenam Kejohanan Dunia 2022 dan pelbagai koleksi pingat di pentas Asia, kini memburu penampilan Olimpik keenam berturut-turut pada edisi Paris 2024.
THAILAND
Atlet: Natawat Iamudom (20), Soraoat Dapbang (21), Chayut Khongprasit (24), Puripol Boonson (17)
Acara: 4x100m
Rekod peribadi: 38.55s
Pencapaian:
– Pingat emas Kejohanan Asia 2023
– Pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021
KUARTET 4x100m Gajah Perang ini mencipta rekod baharu kejohanan sebanyak dua kali menerusi catatan 38.66s di pusingan pertama dan 38.55s pada aksi final.
Rekod sebelum ini turut dipegang kuartet Thailand diwakili Sowan Ruttanapon, Bandit Chuangchai, Jirapong Meenapra dan Siripol Punpa dengan catatan 38.72s pada edisi Doha 2019.
SUMIRE HATA
Umur: 27 tahun
Negara: Jepun
Acara: Lompat jauh
Rekod peribadi: 6.97m
Pencapaian:
– Pingat emas Kejohanan Asia 2023
– Pingat emas Kejohanan Dalam Dewan Asia 2023
ATLET Jepun ini memecahkan rekod kejohanan berusia 25 tahun, 6.83m dilakukan Guan Yingnan dari China di Fukuoka, Jepun pada 1998 dengan catatan 6.97m.
Ia sekali gus menjadi rekod baharu Jepun dan kini hanya ketinggalan 0.04m untuk memadam rekod Asia 7.01m yang dilakukan bekas atlet China, Yao Weili pada 1993.
VERONICA SHANTI PEREIRA
Umur: 26 tahun
Negara: Singapura
Acara: 200m
Rekod peribadi: 22.70s (200m)
Pencapaian peribadi:
– Pingat emas 100m Kejohanan Asia 2023
– Pingat emas 200m Kejohanan Asia 2023
– Pingat emas 100m, 200m Sukan SEA Kemboja 2023
RATU pecut Singapura ini mencipta sejarah tersendiri sebagai pelari pertama negara itu meraih pingat emas berganda 100m dan 200m dalam kejohanan peringkat Asia.
Menariknya, Pereira turut memecahkan rekod 200m kejohanan dengan masa 22.70s, meleburkan catatan 22.74s dilakukan ratu pecut Bahrain, Salwa Eid Nasser pada edisi Doha 2019.
TOWA UZAWA
Umur: 20 tahun
Negara: Jepun
Acara: 200m
Rekod peribadi: 20.23s
Pencapaian:
– Pingat emas Kejohanan Asia 2023
BINTANG muda Jepun ini mengegarkan benua Asia apabila merakam masa 20.23s untuk memperbaharui rekod kejohanan, memadam catatan lama 20.28s milik raja pecut Qatar, Femi Ogunode pada 2015.
Ia sekali gus melonjakkan Uzawa ke ranking pertama Asia dan ke-36 dunia, malah hanya ketinggalan 0.07s dengan had kelayakan acara 200m untuk menyambar slot merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.