fbpx

K2

Nikmat berbeza pancing udang galah kolam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Memancing udang galah kolam dikatakan lebih menyeronokkan.

BOLEH terbawa ke dalam mimpi, itu penangan yang pernah dirasai pemancing apabila memancing udang galah.

Ini kerana memancing udang galah memberi pengalaman berbeza dan lebih cepat membuahkan hasil jika berada di lubuk yang betul.

Disebabkan pengalaman itu, Hamzah Idrus, 65, berkongsi pengalaman tersebut bersama kaki pancing dengan membuka kolam udang sendiri.

Menetap di Kampung Kemensah Ampang, Selangor, Hamzah membuka Kolam Pancing Udang Galah Noramzah berdekatan kediamannya pada 2012.

Menurutnya, memancing udang mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Katanya, ia juga boleh membuat seseorang itu ketagih kerana keasyikan memburu hidupan air tawar itu.

“Saya suka memancing dan sering mencuba pelbagai lubuk sama ada di laut mahupun darat.

“Namun, memancing udang galah memberi kepuasan yang berbeza.

“Sekali dapat tangkap (udang) pasti mahu lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemensah baru-baru ini.

Tambahnya, ramai pemancing yang pernah memancing udang galah akan mencari masa melakukan aktiviti itu kerana mahu merasakan ‘nikmat’ menangkap udang.

Kongsinya lagi, jika mahu memancing udang galah, umpan memainkan peranan penting untuk memikat haiwan tersebut.

“Untuk memancing udang galah, umpan yang paling sesuai adalah umpun-umpun atau ikan gapi.

“Memancing udang ini seronok kerana bila kita letak joran sahaja ia akan makan.

“Berbeza dengan ikan yang mana kita kena tunggu satu tempoh sebelum umpan mengena.

“Bagaimanapun, ada masanya udang ini akan mogok dan tidak makan umpan.

“Ini bergantung kepada keadaan air dan haiwan itu sendiri,” ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.

MEMANCING udang galah kolam pastinya memberi nikmat berbeza dan tersendiri kepada para pemancing.

Berkongsi tentang cabaran mengusahakan kolam pancing udang galah, Hamzah memberitahu, banyak perkara perlu diambil kira terutama dalam memastikan kepuasan pemancing yang datang ke kolam tersebut.

Katanya, berbeza dengan ikan, udang galah sedikit cerewet penjagaannya kerana mudah mati jika air tidak dirawat dengan betul.

“Tidak seperti kolam ikan, udang hidup yang dibeli daripada pembekal tidak boleh dilepaskan semuanya ke dalam kolam.

“Udang galah perlu diletakkan dalam kolam simpanan dan dilepaskan dalam kolam pancing apabila ada pemancing datang.

“Simpanan udang di dalam kolam juga perlu diberikan oksigen yang berterusan kerana jika tidak dilakukan, ia akan cepat mati,” ujarnya yang mengambil stok udang galah dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Kuala Kangsar, Perak.

Jelasnya, kadar pH air perlu berada pada tahap neutral iaitu tujuh atau di bawah paras 12, jika air terlalu beralkali jangka hayat udang tidak panjang.

Oleh yang demikian, kerja pembersihan kolam perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali dua bulan atau apabila sudah dipenuhi lumut.

Selain itu, Hamzah menceritakan bahawa cabaran lain yang perlu dihadapi adalah berdepan dengan kerenah pemancing

Ini kerana ada segelintir pemancing yang datang ke kolam untuk mengejar untung terhadap wang yang dibelanjakan.

“Ada yang ingat, kalau pancing di kolam akan dapat banyak udang. Namun hakikatnya, di kolam buatan atau lubuk semula jadi, sifat udang galah masih sama.

“Memancing ini bergantung kepada rezeki, jika ‘mood’ udang tidak baik, ia enggan makan umpan begitu juga sebaliknya,” kongsinya lagi.

Hamzah turut menjelaskan, pemancing udang masih boleh mendapat habuan sekiranya memancing selama dua jam.

Kolam Pancing Udang Galah Noramzah dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12.30 tengah malam.

Mengenakan bayaran RM43 untuk tempoh memancing minimum selama dua jam, kolam pancing bersaiz 18.2 meter panjang dan 7.9 meter lebar itu boleh memuatkan seramai 70 pemancing pada satu-satu masa.

Selain mengusahakan kolam pancing, Hamzah turut menyediakan kemudahan inap desa buat pemancing yang ingin meluangkan masa bersama keluarga sambil memancing udang galah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI